Puasa Satu Nikmat yang Tersembunyi
Ibadat puasa merupakan ibadat yang istimewa. Ibadat ini juga
merupakan satu nikmat yang hanya dirasai orang yang menjalani ibadat ini
sahaja. Mungkin tidak ramai orang menyedari hakikat ini. Antara
nikmatnya ialah:
Pertama: Nikmat ini
dirasai sepenuhnya ketika seseorang berbuka. Orang yang tidak berpuasa
gagal mendapat nikmast ini, sekalipun dia menjamu selera pada masa yang
sama.
Siang hari tidak dirasai sebagai ni`mat jika tiada malam yang gelap
gelita. Kita mungkin menderita jika waktu malam terlalu panjang, kita
menyambut kedatangan siang dengan penuh gembira kerana membawa kepada
kita cahaya, lalu kita dapat berbuat sesuatu padanya. Seseorang mungkin
tidak menyedari betapa nikmatnya sihat tubuh badan kerana dia pernah
menderita sakit. Di sini jelasnya sabda Nabi saw:
لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ
Terjemahan: Orang berpuasa memperolehi dua kesukaan; pertama ketika
berbuka, dia bergembira kerana berbuka. Kedua, ketika menemui Allah, dia
bergembira kerana berpuasa.
Kedua: Mengimbau
penderitaan orang yang lapar. Persaan ni`mat diperolehi tanpa pengucapan
yang didengar, tanpa bahasa yang diungkap dan tanpa suara yang
membisik, tetapi dirasai melalui tali-tali perut yang lapar dan
urat-urat leher yang kehausan.
Ketiga: Puasa
adalah satu jalan mempersamakan di antara dua golongan manusia yang kaya
dan yang miskin. Puasa bagaikan cukai yang dipungut daripada semua
golongan tanapa mengira orang miskin yang tiada harta dan orang kaya
yang memiliki harta.
Insan yang berperikemanusiaan wajar berfikir untuk menyerah dirinya kepada Allah dengan menyahut seruan-Nya:
ارحَموا مَن في الأرضِ يَرحَمْكُم مَن في السَّماءِ
Terjemahan: Kasihanilah terhadap makhluk di bumi, nescaya anda dikasihi makhluk di langit.
Diriwayatkan, Nabi Yusuf as sangat kerap berpuasa ketika memegang
jawatan pengawal perbendaharaan negeri Mesir. Bila ditanya mengapa dia
berpuasa begitu kerap? Jawabnya: Aku bimbang jika aku kenyang, nanti aku
lupakan nasib orang miskin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan